Tuesday, 18 June 2013

Akidah Sejahtera Pengubat Krisis Identiti

Akidah Sejahtera Pengubat Krisis Identiti

Melihat diri sebagai budak seni sebagai seorang yang malas membaca dan sekadar tahu bermain dengan gambar, adalah permulaan cetusan krisis identiti. Secara peribadinya saya tidak mempercayai bakat, tetapi saya mempercayai usaha. Ada sahaja rakan-rakan saya yang mengambil pengajian Seni dahulunya mengatakan dirinya tidak berbakat, namun setelah sedemikian lama sepanjang semester dididik oleh pensyarah dan usahanya, maka akhirnya dia dapat menghasilkan karya yang berkualiti.

            Islam datang menghancurkan krisis identiti dengan menjelaskan kemampuan seseorang itu terbina atas daya usaha. Penswastaan sifat terhadap sesuatu kumpulan itu sebenarnya menghancurkan kesedaran untuk membina potensi diri.

            Sama juga dengan sebahagian orang yang mengatakan, "Orang Yahudi pandai sebab itu boleh kuasai dunia." Secara tidak langsung, kepercayaan ini menghalalkan kebodohan bagi bangsa-bangsa. Kepercayaan ini seperti mempersalahkan Tuhan yang menciptakan bangsa yang berbeza. Ubat bagi kepercayaan songsang sebegini adalah dengan kembali kepada akidah yang sejahtera.


            Bayangkan jika ilmuwan Islam yang terkenal sebagai polymath[1] iaitu Al-Farabi mengalami krisis identiti sudah tentu akan berkata, "Aku ini seorang yang mampu dalam bidang muzik. Mana mungkin, orang seni mampu menguasai falsafah". Namun, sebaliknya ilmuwan Islam pada zaman tersebut mempunyai suatu kejelasan diri sebagai Muslim yang mana melihat diri mereka dengan berkata, "Aku seorang Muslim. Islam ajarkan kepadaku asal sahaja berusaha dengan bersungguh-sungguh, sudah tentu akan dianugerahkan Ilahi kemampuanku untuk menguasai pelbagai jenis bidang."



Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas[2]
Sumber Gambar : http://www.merdekaaward.my/Recipients/By-Year/2012/Tan-Sri-Professor-Dr-Syed-Muhammad-Naquib-al-Attas.aspx

Apa-apapun, yakinlah bahawa Allah SWT senantiasa bersama dengan orang-orang yang berusaha memajukan dirinya dengan penuh kesabaran.

Berlumba-lumbalah mengejar kebaikan!



[1] Polymath : Menguasai pelbagai jenis bidang seperti matematik, falsafah, muzik, perubatan dan sebagainya bagi seseorang 'ilmuwan. Antaranya adalah seperti Al-Farabi, Ibnu Sina, Al-Kindi dan ramai lagi 'ilmuwan Islam pada zaman kegemilangan Islam.
[2] Antara contoh 'ilmuwan Islam yang boleh dikategorikan sebagai polymath pada zaman sekarang yang boleh saya bawa adalah Prof.Syed Muhammad Naquib al-Attas sendiri boleh juga saya katakan sebagai seorang polymath kerana beliau menguasai dengan baik bidang falsafah, sejarah, kesenian, kebudayaan dan sebagainya. Ini kerana beliau mereka sendiri senibina bangunan International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) di Kuala Lumpur, Malaysia.

Sunday, 9 June 2013

Menangislah Wahai Sahabatku

Menangislah Wahai Sahabatku



Jika lelaki menangis,

Dikatanya tidak macho,

Habis bagaimana dengan Saidina Umar Al-Khattab,

Sahabat baginda yang gagah berani,

Tegas dengan akidah yang dipegangnya,

Namun di malam hari dia menangis,

Hinggakan berlopak pipinya,

Tangisannya bukan pada dunia,

Tangisannya mengenang dosa yang lalu,

Esakan tangisannya membuahkan iman,

Aku melihat diriku sendiri,

Pernahkah aku menangis,

Menangisi dosa yang lalu,

Hati apakah yang ada dalam diriku ini?

Aduh! Pedihnya menerima kenyataan diri ....



*Alangkah machonya jika seorang lelaki mampu menangisi dosanya yang lalu...

Muhasabah Bersama

Muhasabah Bersama


Ingatlah bahawa beberapa orang dikalangan sahabat semua yang memulakan beberapa jenis projek seperti video, blog, design, penulisan buku dan seumpamanya untuk tujuan dakwah adalah bagi untuk melancarkan lagi perjuangan Islam untuk jangka masa yang panjang dan memberikan manfaat pada masa hadapan.

Jangan sesekali melihat dengan terdetik di dalam hati, "Ouh, dia dah buat dah, jadi okey la tuh." Mungkin sahabat-sahabat yang memulakan projek-projek sedemikian tidak lama hidup. Boleh saja esok lusa mereka pergi meninggal dunia, di saat itu mereka tidak mengharapkan ucapan, "Arwah telah banyak menyumbang dalam perjuangan dakwah. Hebat betoi...," dan sebagainya. Tetapi lebih daripada itu, mereka mengharapkan rakan-rakan sekalian menyambung perjuangan dakwah dengan lebih bertenaga, memanfaatkan segenap ruang yang ada dengan segenap usaha!

Kita perlu bergerak seiring dan sejalan sepertimana kita mengharapkan apabila makan durian, biar semua makan bersama (sekadar contoh). Dalam merintis perubahan dan kemajuan Islam, biarlah sama-sama merasa bahang perjuangan. Begitulah harapnya juga mereka agar rakan-rakan sekalian sama-sama menolong, mengukuh dan menguat. Sama-sama belajar untuk menguasai pelbagai jenis kemahiran supaya jika mereka sudah meninggal dunia, bolehlah rakan-rakan yang masih hidup meneruskan apa yang sudah sedia dimulakan...

Jangan hanya tahu menjadi penilai tanpa memberikan sebarang nilai...


Maaf jika terkasar bahasa...

Thursday, 6 June 2013

Pemerintah Mughal Yang Mencintai Ilmu : Sultan Aurangzeb Alamgir

Pemerintah Mughal Yang Mencintai Ilmu : Sultan Aurangzeb Alamgir



Kepentingan untuk mengkaji sejarah juga disedari oleh pemerintah Islam kemudiannya iaitu Aurangzeb. Malah dalam kes-kes tertentu seperti Aurangzeb (meninggal dunia 1707 Masihi) misalnya, beliau memarahi bekas gurunya yang telah gagal mengajarkannya pada waktu kecil ilmu-ilmu yang berguna untuknya sebagai pemimpin. Aurangzeb adalah pemimpin besar terakhir Kerajaan Mughal di India yang kuat berpegang pada ajaran agama, adil dan banyak membuat perubahan yang membina. Oleh sebab kandungan kata-kata beliau kepada salah seorang gurunya yang tidak bertanggungjawab ini penting, maka saya membawakan antara petikan kata-kata beliau yang pernah diucapkan dalam penulisan ini :

         Apakah tidak menjadi kewajipan bagi guruku untuk mengajarku ciri-ciri penting setiap negara didunia, kekayaannya dan kekuatannya, kaedah peperangannya, akhlaknya, agamanya, corak kerajaannya serta arena kepentingannya; dan dengan pembacaan bahan sejarah secara berterusan guru seharusnya memberikan kefahaman kepadaku tentang sejarah negara-negara, kejayaannya dan kejatuhannya...Jauh daripada mengajarku sejarah manusia secara menyeluruh, aku tidak langsung mempelajari daripadamu tentang datuk nenekku dan pengasas penting kerajaan ini...serta kebolehan mereka sehingga berjaya menakluki jajahan luas...

...Ya, kamu telah membuatku menghabiskan waktu mempelajari hipotesis dan sistem pemikiranmu yang tidak berguna...Jika kamu telah mengajarku satu falsafah yang melatih akal untuk berfikir dengan baik, dan melatihnya tidak mahu rasa cukup kecuali denga hujah yang jitu, jika kamu mengajar sesuatu yang bole mempertingkatkan jiwa dan memperkuatnya dalam menghadapai arus kehidupan sederhana: yakni tidak angkuh dalam kejayaan dan tidak hina dalam kegagalan; jika kamu mengajarku sifat manusia; membiasakan diriku dengan prinsip utama, dan memberikan kepadaku pemahaman tinggi dan menyeluruh tentang alam raya serta perjalanannya-jika inilah falsafah yang kamu ajaran kepadaku, aku seharusnya berhutang budi kepadamu lebih daripada Iskandar Zulkarnain berhutang budi dengan Aristotle.[1]
           
            Saya tersenyum sendiri apabila membayangkan ucapan yang disebut oleh Sultan Aurangzeb Alamgir kepada gurunya itu. Kadang-kadang terfikir juga, "Kurang ajar juga Sultan Aurangzeb Alamgir kepada gurunya itu sampai sanggup memarahi gurunya." Namun, lintasan itu meleset sedikit demi sedikit dari fikiran apabila mengenangkan kesan terhadap pengabaian proses pembelajaran dan penghayatan sejarah yang akan mengakibatkan sesuatu generasi itu mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh generasi terdahulu. Ini bertepatan dengan suatu hadis di mana Baginda SAW bersabda yang bermaksud:

"Orang mukmin tidak dipatuk dari lubang sama dua kali."





[1] Wan Mohd Nor Wan Daud, 2007, Budaya Ilmu : Satu Penjelasan, Kuala Lumpur : Pustaka Nasional Pte Ltd, Singapore.

Wednesday, 5 June 2013

Pemerintah Umayyah Di Cordova Yang Mencintai Ilmu

Pemerintah Umayyah Di Cordova Yang Mencintai Ilmu



Khalifah Abdul Rahman II (Khalifah Kerajaan Umayyah ke-18) bukan sahaja cintakan bidang kesenian dan seni bina, tetapi juga bidang sains dan kesusasteraan. Beliau begitu meminati hasil karya falsafah Yunani sehingga sanggup menghantar Abbas ibn Nasih ke Mesopotamia untuk mengumpulkan buku-buku yang baru dan jarang ditemui, terutamanya terjemahan bahasa Arab oleh orang Parsi dan hasil karya orang Yunani dalam bidang sains.

            Imamuddin mencatatkan bahawa perpustakaan yang pertama dan terbaik di Andalus adalah Perpustakaan Diraja Cordova. Sejak dari pemerintahan Abdul Rahman II lagi, ia menjadi sebuah universiti yang terbaik di dunia Islam dan kecemerlangan ini telah diteruskan oleh Abdul Rahman III. Kedua-dua anak Abdul Rahman III iaitu Muhammad dan al-Hakam II lebih cenderung dalam aktiviti kesusasteraan dan mereka dikatakan mempunyai koleksi atau simpanan buku yang tersendiri. Ketika al-Hakam II menaiki takhta, beliau telah menubuhkan tiga buah perpustakaan untuk kegunaan khalifah dan puteri-puteri mereka.

            Selain itu, beliau juga telah menghantar beberapa orang ejen ke Mesir, Syria dan Iraq untuk membeli manuskrip dan buku-buku yang tidak terdapat di Andalus. Sebagai contoh, ejen beliau bernama Fatimah telah meneroka kebanyakkan kedai buku dan perpustakaan di beberapa buah bandar yang jauh seperti Kaherah, Iskandariah, Damsyik dan Baghdad untuk membeli atau membuat salinan manuskrip kuno dan moden. Ada pendapat mengatakan bahawa tidak ada hadiah yang paling bermakna bagi Khalifah al-Hakam selain menerima manuskrip yang luar biasa dan jarang ditemui oleh beliau. Tidak hairanlah jika dikatakan bahawa perpustakaanyang dimiliki oleh beliau adalah paling banyak koleksi buku pada Zaman Pertengahan. Dianggarkan bahawa beliau memiliki simpanan buku sebanyak 400 000 buah di dalam perpustakaan miliknya.

            Perpustakaan awam juga dibina di setiap daerah dan wilayah di Andalus. Menurut Ballestros, di bandar Cordova sahaja terdapat sebanyak 70 buah perpustakaan awam yang boleh digunakan oleh seluruh masyarakat di situ.  Setiap perpustakaan ini mempunyai koleksi buku dalam pelbagai bidang. Selain itu, terdapat juga beberapa buah perpustakaan persendirian yang dibina oleh tokoh-tokoh terkenal sama ada di Cordova atau bandar-bandar lain. Antara perpustakaan persendirian yang terpenting selepas Perpustakaan Diraja adalah perpustakaan Ibn Futais di Cordova, yang telah dijual kepada orang awam sebanyak 40,000 dinar pada awal abad ke-11 Masihi.

            Selepas Cordova jatuh, pusat kebudayaan telah berpindah ke wilayah yang lain. Antara pemerintah Muluk al-Tawa'if, hanya pemerintah Bani Abbad di Seville mempunyai Perpustakaan Diraja dan di tengah ibu kota ini pula letaknya pasar buku. Selain itu, Abu Ja'far ibn 'Abbas, wazir kepada Zuhayr iaitu pemerintah Almeria dikatakan memiliki 400,000 buah buku di perpustakaan persendirian, al-Muzaffar ibn al-Aftas pula selain berjaya menghasilkan karya ensiklopedia bertajuk al-Muzaffariyyah sebanyak 50 jilid juga memiliki sebuah perpustakaan yang besar. Banu Dhu 'l-Nun di Toledo dan Banu Hud di Saragozza juga mempunyai perpustakaan yang terkenal sebagai pencinta buku di Saragossa telah berpindah ke Valencia selepas Saragossa ditawan oleh Alfonso I. Granada juga tidak ketinggalan mempunyai perpustakaan yang terpenting, antaranya ialah perpustakaan Banu Zubaydi, Ibn Furqan dan Aben Lope.


            Semasa zaman kejatuhan Islam, kebanyakkan koleksi buku yang terdapat di perpustakaan ini telah musnah. Walau bagaimanapun, tinggalan koleksi buku-buku orang Islam telah disimpan dengan baik di perpustakaan Escorial dekat Madrid oleh Raja Philip II (1556-1598 Masihi) dan penggantinya. Pada zaman beliau, perpustakaannya itu telah menjadi sebuah perpustakaan yang terkaya dengan manuskrip Islam.

Rujukan : Andalus: Semarak Tamadun di Eropah karya Salmah Omar, hlm.27-29.

Monday, 3 June 2013

Berda'wah Dengan Buku

Berda'wah Dengan Buku



Untuk memulakan sesuatu da'wah agak menjadi dilemma buat diri seseorang. Jika dapat mencari suatu topik untuk mencetuskan perbualan, maka itu sudah cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja bersembang sehingga meleret-leret.

Pernah sekali seingat saya apabila membawa sebuah buku agama, ada seorang pelajar bertanyakan kepada saya, "Abang, buku apa yang dibaca tu?"

"Ini buku berkenaan persoalan akidah. Nah, tengoklah. Bagus buku ini," balas saya sambil menghulurkan buku yang dipegang kepadanya. 

Teruja sahaja wajahnya apabila menerima buku yang diberikan. Nampak sangat dia memang berminat dengan buku tersebut.

Mereka semestinya merasa malu untuk bertanya sesuatu soalan yang mana pastinya akan dilihat seperti merujuk pada diri mereka sendiri secara peribadinya. Jadi, sebab itulah mereka cuba untuk memulakan sesuatu pertanyaan di dalam perbualan dengan bertanya mengenai buku yang saya bawa dahulu.

Ia berlaku secara spontan kebiasaannya. Asalkan niat kita ikhlas untuk berda'wah kepada seseorang, insyaallah akan ditunjukkan jalan bagi menjayakannya.

Friday, 31 May 2013

Temui Hidayah Di Kedai Buku

Temui Hidayah Di Kedai Buku



Entah berapa kali saya pergi ke kedai buku pasti akan berjumpa dengan beberapa orang gadis yang tidak menutup aurat dan berpakaian seksi, namun mereka asyik sekali membaca buku-buku di bahagian buku agama.

            "Perempuan yang seksi pun layan buku agama jugak," detik hati saya ketika pertama kali melihat kejadian itu. Namun, apabila sudah berulang kali saya melihat kejadian itu, barulah saya bahawa Allah SWT ingin menunjukkan kepada saya suatu golongan manusia yang sedang berusaha membaiki diri dengan keadaan mereka fikirkan termampu seiring pergelutan dengan kekuatan diri yang berbaki pada diri mereka.


            Salah satu sebab yang mendorong mereka untuk mengenali Islam secara berjinak-jinak dengan menggunakan buku adalah rasa malu mereka dengan penampilan diri mereka untuk mendekati rakan-rakan mereka yang baik. Saya cenderung untuk tidak mempersoalkan perasaan malu mereka yang tidak bertempat, yakni malu mempelajari ilmu agama tetapi tidak malu mendedahkan aurat kepada umum. Tetapi saya lebih suka untuk melihat dan berfikir suatu aspek lain untuk diusahakan oleh para penda'wah bagi golongan seperti mereka iaitu memimpin mereka untuk mendalami Islam dengan lebih mendalam.